Thursday, November 7, 2013

UNTUK SIAPA CUTI ITU?


Cuti penggal persekolahan bermula bermula pada 15 November ini...Sebenarnya,keseronokan cuti itu bukan sahaja dirasai oleh pelajar, malah ibu bapa pun turut serta merasai bahangnya, ingin menggunakan kesempatan yang ada untuk merapatkan ukhuwah serta merapatkan tali kekeluargaan bersama anak-anak. 

Pasti ramai yang mengambil cuti untuk pulang ke kampung untuk melawat datuk dan nenek yang telah lama tidak bersua. Tidak kurang juga yang makan angin di luar negara. Dan yang lebih baik,  menggunakan peluang yang ada untuk pergi menunaikan umrah. TAHNIAH!! 


CITA RASA YANG BERLAINAN


Setiap orang punya cita rasa dan cara tersendiri untuk meraikan cuti yang ada. Mungkin ada yang hanya duduk di rumah. Tidak mengapa, bagi anak-anak, menolong ibu bapa di rumah pun suatu perkara yang berfaedah. Terserah pada kita untuk memanfaatkannya, untuk apa dan siapa.


Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas ra, Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: 



“Dua nikmat yang ramai  manusia tertipu, nikmat sihat dan waktu lapang.”
(Riwayat Bukhari). 




CUTI ITU UNTUK SIAPA?

Mungkin kelihatan agak ganjil bunyinya soalan di atas. Untuk siapa kita abdikan masa cuti yang kita ada, terutamanya waktu kita sihat sebelum sakit dan waktu lapang sebelum datangnya waktu sibuk  ini??? ALLAH??.

Tidak salah bagi  seorang ayah mahupun ibu yang ingin meluangkan masa cuti yang ada bersama-sama anak-anak, tetapi niatkannya adalah kerana Allah. Ataupun seorang sahabat yang ingin beriadah mahupun bersantai bersama teman-teman, jangan lupa niatkan kerana Allah. Niatkan segala amalan dan pekerjaan yang kita lakukan adalah kerana Allah dan hanya untuk Dia. Pastinya, masa yang berisi itu akan menjadi 'saat yang berpahala'

Jangan biarkan masa itu berlalu dengan percuma. Rancanglah segala sesuatu aktiviti berfaedah untuk mengisinya. Masa itu ibarat sebilang pedang yang tajam, kita  harus menggunakannya dengan betul. Sebelum mata pedang itu dilibas, kita harus berfikir sejenak agar libasan yang dihasilkan nanti akan membunuh musuh yang sebenarnya, bukan sekadar layak menjadi pedang yang indah terselit dalam sarungnya.

Dalam hidup ini, kita tidak dapat lari daripada dua perkara yang penting, iaitu dosa dan pahala. Kita sebagai manusia diberi pilihan untuk mengambil yang mana. Madu di tangan kanan mu, racun di tangan kirimu. Perlu diingat, perkara berpahala itu adalah meraih redha Ilahi dan sebaik-baik tempat insan yang diredhaiNya adalah syurga . Begitu jua sebaliknya. Segalanya atas kehendak Yang Maha Kuasa. 

                                  "Hakikatnya, Syurga Pilihan Kita dan Bukannya Neraka"



   Selamat bercuti dan manfaatkannya untuk meraih redha Allah swt.

Wassalam.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...