Thursday, June 27, 2013

CATATAN HARI LAHIR KU.

Assalamualaikum w.b.t.

Sekadar ingatan buat diri sendiri, sempena hari lahirnya diri hamba ke bumi ini. 
Segala puji bagi Allah SWT yang menurunkan kepada para hambaNya kitab Al-Quran yang tiada padanya keraguan atau kesesatan melainkan orang-orang yang mempelajarinya tanpa berguru dengan yang hak. Selawat dan Salam ke atas Nabi kita Nabi Muhammad SAW,  yang menyelamatkan kita di dunia dan akhirat, juga ke atas seluruh ahli keluarga, para sahabat dan pengikut Baginda SAW sehingga ke hari pembalasan kelak.

27 Jun 1961 adalah hari dan tarikh aku dilahirkan menurut tahun syamsiah atau berasaskan matahari. Ada juga yang menamakannya dengan tahun Masihi kononnya berdasarkan tahun daripada lahirnya Nabi Isa AS. Bahkan ada juga yang mengatakan tahun yang dikira bermula daripada kewafatan Nabi Isa AS, dan sebagai orang Islam kita menolak pernyataan itu. Ini adalah kerana Nabi Isa AS tidaklah wafat  seperti mana dakwaan sesetengah pihak tetapi telah diangkat ke langit oleh Allah SWT. 


Sebahagian ulamak  kini menganggap bahawa memperingati apatah lagi menyambut hari kelahiran tiada dalam Islam dan menghukumkannya sebagai satu perkara baru yang harus. Ada pula yang mengatakan bahawa yang tidak dibolehkan ialah memperingati atau menyambut hari kelahiran mengikut tahun syamsiah tetapi dibolehkan menurut tahun qamariah yakni tahun yang mengikut perkiraan bulan (tahun hijriah ditetapkan menurut Islam melalui Ijma' ulamak Islam di zaman Khulafa-ir-Rasyidin). 

Mengikut persepsi saya yang lemah ini, hukum memperingati hari lahir bagi umum umat Islam serta menyambutnya adalah harus selagi tiada perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam. Malahan, meraikannya dengan doa selamat, istighfar, zikir, solat dan doa yang lain, yang mendekatkan  kepada Allah SWT dan Islam adalah lebih utama.  Elakkan juga sebarang pembaziran dan raikanlah bersama ahli keluarga, kaum kerabat, jiran terdekat, sahabat handai lebih-lebih lagi golongan faqir dan miskin serta mereka yang lemah lagi memerlukan.
Jarang sekali saya meraikan atau menyambut hari kelahiran saya ini, malahan selalu lupa. Sambutan hari jadi ni, sejak sekian lama berevolusi dan beransur-ansur tersebar luas dan mula diamalkan oleh orang kebanyakan sesuai dengan arus kemajuan, pembangunan dan kemodenan. Jika dahulu sambutan hari jadi dilakukan oleh bangsawan-bangsawan dan golongan yang kaya sahaja, namun kini orang kebanyakan, sedikit demi sedikit mula bertambah dan mampu menyambutnya secara kecil-kecilan sehinggalah akhirnya sambutan hari lahir ini sudah menjadi adat dan suatu kebiasaan pula . 

Nabi Muhammad s.a.w juga mengingati hari lahir baginda. Selain dari mengingati hari lahirnya, Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan mengingati hari lahir Nabi Adam As. Ada sebuah hadis, iaitu: 

      ." Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW mengatakan: “Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam AS, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat pula.” (Hadith Riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i, Tirmidzi dan disahihkan. Lihat juga dalam Fiqhus Sunnah oleh Sayyid Sabiq dalam bab Jumaat) 
Dan hadis kedua, daripada Aus bin Aus RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah berkata: “Seutama-utama hari adalah hari Jumaat. Padanya diciptakan dan dimatikan Adam AS, ditiup sangkakala dan dibinasakannya manusia. Oleh kerana itu perbanyakkanlah selawat atasku pada hari itu karena selawatmu akan sampai kepadaku.” Para shahabat bertanya: “Bagaimana boleh sampai sedangkan jasadmu telah dimakan tanah?” Berkata: “Allah SWT mengharamkan tanah untuk memakan (membusukkan) jasad para Nabi ASW.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan disahihkan)

Dan hadis kedua, daripada Aus bin Aus RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah berkata:


 “Seutama-utama hari adalah hari Jumaat. Padanya diciptakan dan dimatikan Adam AS, ditiup sangkakala dan dibinasakannya manusia. Oleh kerana itu perbanyakkanlah selawat atasku pada hari itu karena selawatmu akan sampai kepadaku.” Para shahabat bertanya: “Bagaimana boleh sampai sedangkan jasadmu telah dimakan tanah?” Berkata: “Allah SWT mengharamkan tanah untuk memakan (membusukkan) jasad para Nabi ASW.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan disahihkan)

Hadis-hadis ini juga secara tidak langsung mengingatkan kita, peri pentingnya mengingati hari lahir sebagai peringatan kepada hari tua dan kematian beserta hari akhirat dan pembalasan serta bersedia untuknya. Selain itu ia mengingatkan kita bahawa sebaik-baik doa ialah berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW kerana dengan berselawat sekali sahaja, Allah SWT dan para Malaikatnya akan berselawat ke atas kita sepuluh kali dan mengampunkan dosa-dosa kita. 

Sesungguhnya benarlah bahawa manusia itu selalu lalai dan leka dan sering lupa oleh kerana terlalu cintakan dunia dan mengejarnya sedangkan yang dikehendakki ke atas seorang Islam itu ialah senantiasa mengingati mati dan bersedia untuknya. Ketahuilah, umur yang dikira daripada tarikh lahir itu hanyalah kayu ukur dan kehadiran sambutannya hadir setiap tahun hanya bagi mengingatkan diri kita akan kematian yang sebenarnya berjalan daripada saat ke saat dan bukannya tahun ke tahun sepertimana adat yang biasa kita amalkan.


 Hendaknya kita semua sedar bahawa asalnya kita semua manusia ini dijadikan sebagai makhluk yang sangat baik zahir dan batinnya sehinggalah kita sendiri menjerumuskan diri ke arah kefasikan, kerosakan dan kemusnahan. Sedangkan asalnya semua manusia itu bersih dan islam ketika lahirnya dan akan kekal bersih dan islam jika dia mahu senantiasa membersihkan dirinya dengan bersuci secara zahiriah dengan berwuduk dan mandi; dan bersuci secara batiniyyah dengan  istighfar, selawat, zikir, solat, puasa dan doa, serta menebus diri dengan iman dan amal soleh yang berterusan sehingga ke akhir hayatnya. 

Oleh itu. ingatlah dan sambutlah hari lahir kita sebagaimana Allah SWT dan RasulNya SAW mahukan kita sentiasa bermuhasabah mengingati muda sebelum tua dan hidup sebelum mati. Mulakan dengan memperbaiki niat dan azam kita untuk terus bermujahadah dan istiqomah memperbaiki dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Seterusnya beramal-ibadahlah dengan penuh kesungguhan untuk akhirat kita seolah-olah kita akan mati esok hari tanpa kita melupakan atau mengabaikan nasib kita dan keluarga kita di dunia ini.
 

Akhir kalam, wahai hamba yang ini, insafilah akan segala kelalaian, kesilapan dan kesalahan  dan sentiasalah bermuhasabah dan memperbaiki diri ! Semoga Allah SWT melindungi kamu  daripada lalai dan leka, juga daripada maksiat dan berdosa. Sentiasalah kamu bertaubat kembali kepadaNya dan mengajak seluruh ahli keluargamu dan kawan-kawanmu bersama-sama bertaubat kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat sentiasa memeriksa diri dan perbuatan mereka, kemudiannya memperbaiki diri, keluarga dan masyarakatnya, serta memastikan segalanya sentiasa berada di jalan yang lurus lagi diredhai Allah SWT.

Sekian dari hambo yang longlai diperjalanan ke pelabuhan. Wassalam. Amien.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...