Ramadhan, menjanjikan pelbagai keistimewaan dan tawaran.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Semboyan sedang bergema. Suasananya kian terasa.
Aku benar-benar teruja sepenuh hati akan kehangatan Ramadhan tahun ini. Sungguh!
Menanti oasis yang menyejukan jiwa.
Menghilangkan dahaga.
Dan, memberikan kebahagian dan ketenangan sanubari.
Ramadhan umpama oasis. Di saat, melalui kehidupan yang meletihkan dan memenatkan. Ramadhan akan merehatkan jiwa dengan siraman air yang dingin. Kering tekak yang sangat dahagakan air akan hilang dengan tegukan air Ramadhan yang sejuk.
Sesejuk salju putih.
Terbayangkan keindahan, kenikmatan dan keasyikannya.
Kedamaiannya, kebahagiaannya dan suasananya yang lain dari yang lain.
Kelebihan-kelebihan Ramadhan Bagi membangkitkan lagi perasaan kita untuk bersiap siaga menghadapi Ramadhan, marilah sama-sama kita semak ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang membicarakan tentang kelebihan Ramadhan. Mudahan-mudahan kita terus bersemangat untuk Ramadhan! Moga-moga kita terasa ringan untuk warming up untuk mengejar piala taqwa.
Pertama : Ramadhan, Bulan Al-Quran
Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan kitab suciNya (Al-Qur’an) yang menjadi petunjuk bagi manusia. Firman Allah SWT :
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
(Surah Al-Baqarah 2 : 185)
Inilah intipati dan agenda utama di dalam Bulan Ramadhan. Kita harus mendekati, berdampingan dan hampir dengan Al-Quran. Sepanjang masa dengan Al-Quran.
Kedua : Ramadhan, bulan Syaitan dibelenggu
Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.
( Hadis diriwayatkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi)
Syaitan, diikat, terhalang untuk melakukan kerja-kerjanya yang asasi. Saat itu, kita hanya bertarung dengan tuntutan dan tarikan hawa nafsu. Jika berjaya, kita akan menjadi insan mulia. Namun, jika kalah dalam bertarung dengan nafsu, kita adalah manusia yang tercela!
Ketiga : Ramadhan, Bulan pengampunan dosa-dosa-doa
Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
“ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.”
( Diriwayat oleh Imam Nasai’e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)
Segala-gala dosa diampuni? MasyaAllah. Luar biasa tawaran dan offer ini. Tiada dimana-mana super market, gedung-gedung membeli belah dan pasar raya yang super hebat.
Syaratnya : penuh keimanan dan keikhlasan.
Keempat : Ramadhan, Bulan penebus dosa –dosa -dosa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar.”
(Hadis riwayat Muslim)
Banyaknya dosa-dosa kita. Sehingga, Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang sentiasa memberikankan peluang dan membuka peluang untuk menghapuskan dosa-dosa kita. Terasa kerdilnya diri ini.
Kelima : Ramadhan, Bulan Intensif Latihan Kesabaran
Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya :
“Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga.”
(Shahih Ibnu Khuzaimah)
Ketahuilah bahawa kesabaran itu pula ganjaran pahala tanpa perhitungan. Firman SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”
( Surah Az-Zumar : 10)
Sabar – kalimah yang mudah meniti dibibir tetapi sukar terbit dalam keperibadian diri. Ramai orang suka berbicara tentang sabar, tetapi tidak ramai yang mampu bersabar dalam kesabaran. Kerana itu, latihannya harus intensif dan perlukan suasana yang khusus. Allah SWT, Sang Maha Pencipta menyediakan Ramadhan sebagai jalannya.
Ayuh, kita pupuk kesabaran di bulan yang mulia ini.
Penutup : Kibarkan semangat, agar ruh terus tertingkat!
Ayuh, gerakan panji-panji kita menuju ke lembah oasis yang menenangkan. Ia akan menghilangkan segala dahaga yang
memenatkan dan meletihkan.
Nantikan ketibaannya. Nantikan dengan jiwa yang bersedia!