BOLEH MELAKUKAN MAKSIAT, DENGAN SYARAT...
Dalam kitab al-Tazkhirah fi Ahwal al-Mawta wa al-Akhirah oleh Imam al-Quthubi, diceritakan tentang seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk mencari hidayah telah bertemu dengan seorang sufi yang hebat, iaitu Ibrahim Adham.
Beliau bertanya, apakah masih ada ruang kepada beliau untuk melakukan maksiat?
Lalu Ibrahim Adham menjawab: “Kamu boleh melakukan maksiat dengan syarat:
1. Kamu jangan makan rezeki Allah, kerana tidak layak orang yang mendurhaka kepada Allah makan rezeki Allah.
2. Kamu jangan tinggal di bumi Allah, kerana adalah tidak layak sebenarnya orang yang melakukan maksiat dan melakukan penderhakaan kepada-Nya tinggal di bumi Allah.
3. Lakukanlah maksiat di suatu tempat yang Allah sesungguhnya tidak nampak kamu.
4. Seandainya malaikat maut datang untuk mencabut nyawa kamu, maka kamu katakan kepada malaikat tersebut untuk menangguhkan sedikit masa lagi usiamu agar engkau sempat melakukan taubat. Sekiranya engkau dapat melakukan perkara tersebut, maka dipersilakan untuk melakukan maksiat.
5. Seandainya Malaikat Zabaniah, penjaga neraka datang hendak mengheret kamu ke neraka, maka katakan kepadanya bahawa kamu tidak akan mengikutnya. Sekiranya engkau dapat berbuat demikian, maka dipersilakan untuk berbuat maksiat.
Setelah mendengar kata-kata tersebut, lelaki itu menangis teresak-esak kerana dia sedar bahawa tidak layak bagi seorang hamba Allah untuk melakukan maksiat kepada-Nya.
Akhirnya, lelaki tersebut menemui jalan hidayah. Beliau dengan bersungguh-sungguh telah bertaubat kepada Allah s.w.t. Sejak dari itu, beliau segera menuntut ilmu dan menjadi seorang hamba Allah yang soleh.
No comments:
Post a Comment