Ahli sejarah banyak mengisahkan, semasa zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz negara Islam dan juga negara-negara yang berjiran dengannya dilimpahi keberkatan kerana keadilan yang telah dilakukan oleh khalifah tersebut (Kitab Bidaya wa Nihaya, Ibn Kathir). Telah diriwayatkan juga warganegara Islam pada ketika itu tidak dapat mengeluarkan zakat untuk serahkan kepada asnaf fakir dan miskin kerana tidak diketahui siapa yang berhak menerimanya kerana semua mereka berada dalam keadaan tidak memerlukan zakat (Kitab Sirah Umar Abdul Aziz, Ibn Abd Hakam).
Khalifah Umar bin Abdul Aziz mampu memberi warna baru kepada manusia dengan membimbing mereka dengan tarbiyyah yang bermula dengan dirinya sendiri. Padahal semasa pemerintahan Khalifah al-Walid bin Abdul Malek, rakyatnya didapati jika bertemu sesama, mereka akan saling bertanya tentang hal hartanah dan kilang-kilang kerana al-Walid juga mengemari akan hal tersebut. Begitu juga dengan khalifah sesudah al-Walid iaitu Sulaiman bin Abd Malek yang mengemari biduanda-biduanda dan makanan-makanan. Rakyat pada ketika itu juga didapati apabila bertemu seringkali membicarakan tentang biduanda-biduanda dan makanan-makanan.
Tetapi aneh sekali apabila Khalifah Umar bin Abdul Aziz memegang jawatan khalifah. Rakyat yang sama, negara yang sama, mereka tidak lagi membicarakan tentang hartanah, kilang-kilang, wanita-wanita atau makanan-makanan. Sebaliknya apabila bertemu, rakyatnya akan sering bertanya “Apakah yang sudah kamu baca malam tadi? Sudah berapa juzuk al-Quran kamu hafal? Bulan ini berapa hari telah kamu berpuasa? (Kitab al-Khalifah al-Zuhud Umar bin Abd Aziz, Sayyid al-Ahli).
Sesungguhnya, Khalifah Umar bin Abdul Aziz berjaya merubah pola pemikiran rakyatnya, semua perkara yang telah dilakukan bermula dengan dirinya.
No comments:
Post a Comment