Taman Tengku Anis Tumpat terletak berhampiran dengan Pantai Sri Tujuh, Tumpat, Kelantan. Dari pantai ini, pengujung hanya perlu terus ke hadapan sedikit, lebih kurang 3 kilometer melalui jalan yang sedikit tidak diselia dengan baik. Kawasannya cukup strategik dan menarik untuk dilawati. Di seberang Taman Tengku Anis kita dapat melihat dengan jelas negara Thailand. Dipisahkan oleh sebatang sungai yang lebarnya lebih kurang 100 meter. Di sini terdapat beberapa bangunan seperti tempat pentadbiran, menara peninjau, tempat permainan kanak-kanak, tempat air pancut, beberapa wakaf, laluan pejalan kaki dan tandas.
Apa yang menjadi persoalan dan pertanyaan setiap pengunjung yang datang adalah berkaitan dengan kawasannya yang tidak diurus dengan baik. Apa yang terdapat di sini, baik bangunan atau kawasan sekitarnya tidak dijaga dan diselia dengan teratur dan baik, Bangunannya yang cantik telah kelihatan rosak di sana sini. Tempat permainan dan menara peninjaunya yang tidak dikawal selia secara teratur kelihatan buruk dan kotor. Kawasan pejalan kakinya kotor dan rosak. Sampah sarap merata-rata. Pokok-pokok dan rumput dibiarkan tanpa penjagaan yang sempurna. Tempat jalan menuju ke tepi sungai bersepah dengan tongkol-tongkol kayu. Secara keseluruhannya, kawasan ini seakan-akan tidak ada penjaga atau pihak yang bertanggungjawab untuk mengawal selia segala kemudahan yang dibina.
Kenapakah Taman Tengku Anis yang cantik dan berada di lokasi yang menarik ini dibiarkan sedemikian rupa ? Apakah ini suatu pembaziran terhadap pelaburan yang tentunya menggunakan wang rakyat yang jumlahnya bukan seringgit dua ? Siapakah yang bertanggunjawab mengurus dan mengawal selia tempat ini ? Majlis Daerah Tumpat kah atau siapa ?
Ingatlah bahawa orang telah diamanahkan untuk menjaga tempat ini wajiblah melaksanakan tanggungjawabnya. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan akan dimurkai oleh Allah SWT.
Sebuah hadis riwayat Ahmad dan Abu Dawud bermaksud: "Tunaikanlah amanat terhadap orang yang mengamanatimu dan janganlah berkhianat terhadap orang yang mengkhianatimu."
Dalam satu hadis lain, Rasulullah bersabda : "Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga jenis, apabila berkata suka berdusta, apabila berjanji selalu menyalahi dan apabila diberi kepercayaan (amanah) suka khainat." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hal ini, orang yang dilantik untuk mengawal selia atau mengurus Taman Tengku Anis ini hendaklah meletakkan amanah dan tanggungjawab itu sebagai agenda utama dalam kerja mereka.
Tempat perjalan kaki yang rosak dan kotor.
Pegola ada yang usang dan patah
Mozek yang rosak dan menara peninjau rosak di beberapa bahagian.
Tempat permainan yang tidak terjaga dan rosak.
Rumput panjang dan sampah bertaburan.
Tebing sungai yang tidak dijaga.
Sampah dan pokok yang tidak terawat.
Tempat air pancut yang rosak teruk tidak terurus.
Laluan turun ke sungai sangat menyedihkan.
Indah tapi terbiar.
No comments:
Post a Comment