Apa itu berbaik sangka? Berbaik sangka adalah perbuatan yang dituntut dalam Islam kerana perbuatan ini dapat mengelak dari menuduh orang lain berbuat keburukan, yang secara tidak langsung, jika tidak punyai bukti yang kukuh menjadikan kita pemfitnah!
"Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya."Berbaik sangka juga mempunyai banyak kebaikan dan kelebihannya. Antaranya adalah hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik. Ini kerana, apabila hati bebas dari bersangka buruk terhadap saudara itu, maka yang ada dalam hatinya adalah sangkaan baik-baik belaka, maka sudah pasti hatinya bertambah cinta pada saudaranya itu. Bayangkan jika hati penuh dengan sangka buruk, sudah pasti apabila lihat sahaja muka saudaranya itu, menjadikan timbul benci, geram dan segala dendam, biarpun sangkaannya itu belum terbukti benar, nauzubillah.
[al Isra', 17:36]
Selain itu, bersangka baik juga dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam di hati. Titik hitam ini hanya singgah pada hati yang kotor. Jika hati sudah penuh dengan titik hitam, maka proses pembersihannya juga menjadi sukar. Bukankah mencegah lebih baik dari mengubati. Jadi, marilah kita mencegah perkara-perkara mungkar dari terus berkumpul di hati kita, bukan buruk sangka sahaja, malah segala bentuk kemungkaran.
Beberapa pesanan Sheikh Abdul Qadir Jailani agar kita sentiasa bersangka baik sesama insan;
1. Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu;
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku."
2. Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah dalam hatimu;
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku."
3. Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah dalam hatimu;
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."
4. Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah dalam hatimu;
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."
5. Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah dalam hatimu;
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok), dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari perempuan (yang mengolok-olokkan). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." [al Hujurat, 49:11]Saya pernah terbaca sepotong ayat dari suatu artikel yang lebih kurang berbunyi begini, "Jika anda sangka anda adalah orang yang paling bertaqwa kerana anda adalah orang bertaqwa, maka di saat itu juga, anda bukanlah orang yang bertaqwa sebenarnya".
Namun, kita harus beringat, andai kata kita ternampak orang melakukan maksiat, dan kita bersangka baik terhadap mereka, maka kita juga tidak terlepas dari menanggung dosa tersebut. Kerana Islam mewajibkan kita mencegah kemungkaran yang berlaku di persekitaran kita dengan kemampuan yang ada pada kita, seperti mana sabda Rasulullah s.a.w;
"Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan), jika ia tidak mampu, maka denagn lidahnya (secara lisan), dan jika ia tidak mampu juga, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju; tidak meredhai). Dan itu adalah selemah-lemah iman." [Hadis Riwayat Muslim]Jelas di sini, kita tidak boleh beranggapan baik terhadap orang yang melakukan maksiat secara terang-terangan. Contohnya apabila terlihat orang bermain judi, dan kita bersangka dalam hati, "Mungkin orang ini kesuntukan wang. Biarlah, dia pun nak cari rezeki menyara keluarga." Tetapi sebaliknya, kita haruslah mencegah kemungkaran itu, bukan meredhainya.
Dan bagaimana pula bersangka buruk ? Islam melarang umatnya dari berburuk sangka seperti dalam firman Allah,
"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, tanpa ada kesalahan yang mereka perbuat, maka sungguh, mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata." [al Ahzab, 33:58]Firman Allah lagi,
"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengunjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang." [al Hujurat, 49:12]Umat Islam juga perlu bersangka buruk dalam beberapa perkara. Contohnya soal keselamatan diri, apabila ternampak orang yang tak dikenali berkeliaran di persekitaran perumahan pada waktu malam. Ini bukan kita menuduh, tetapi kita mengambil sikap berjaga-jaga dari berlakunya musibah-musibah yang tidak diingini. Perbuatan bersangka buruk sebegini diharuskan, kerana ia menjaga keselamatan diri dan harta kita. Bersangka buruk terhadap prestasi pelajaran anak-anak, kerana mereka tidak membaca buku dan hanya main game dan menonton TV sahaja. Hasil dari sangka buruk tersebut, kita menghantar anak menghadiri kelas tusyen, kelas tambahan atau juga turut membantu dan membimbing mereka untuk meningkatkan prestasi anak tersebut.
Maka di sini merupakan sangka buruk yang menguntungkan semua pihak. Antara lain adalah, bersangka buruk terhadap pokok besar atau semak di belakang rumah kita, yang akan mengundang kehadiran binatang liar seperti ular sawa, atau mungkin juga haiwan penyebar jangkitan kuman seperti tikus, maka dengan sangka buruk tersebut kita bergotong-royong dengan ahli keluarga untuk memotong pokok serta mencantas semak tersebut untuk menjaga keselamatan rumah dan nyawa keluarga kita. Maka bersangka buruk seperti ini juga diharuskan. Namun, walau apa pun, siapalah kita untuk menilai manusia. Hanya Allah berhak menilai manusia kerana hanya Dia yang mengetahui bisikan hati-hati ciptaanNya itu.
"Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati." [al Mulk, 67:13]Semoga sedikit peringatan ini dapat membawa kita untuk bermuhasabah kembali serta membaiki hubungan sesama manusia. Dan yang lebih penting, bersangka baik dengan Allah :) Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment