Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan. Setiap hari kita berdepan dengan pelbagai ragam manusia yang terkadang susah untuk difikirkan malahan terlalu canggih untuk dicerna oleh akal fikiran kita. Lantas, ada sesetengah orang enggan terlalu memikirkan permasalahan dan tidak mengambil ibrah yang berlaku di sekelilingnya sehingga menyebabkan ia rugi kerana setiap peristiwa mengandungi hikmah yang telah ditakdirkan Allah untuk mengajar manusia mengenai hakikat kehidupan.
Secara umumnya, kalau kita telusuri dunia pada hari ini, ramai yang mengalami sakit rohani. Yang kaya bertambah kaya, si miskin merempat dan melarat. Kezaliman dan penindasan berlaku sama ada secara halus ataupun kasar . Rasuah dan penyelewengan berleluasa. Pihak atasan menindas orang bawahan. Sang ketua yang mengaku dirinya bos merasa besar, takbur, sombong dan ujub diri. Semua keputusannya wajib ditaati. Idea dan buah fikirannya lebih untuk kepentingan diri sendiri atau kroninya, sama ada untuk keuntungan material mahupun nama. Secara sedar ataupun tidak, sebagai ketua atau pemimpin segala kerja buatnya akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.
- Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:
Dari Nabi saw. beliau bersabda: Sesungguhnya seorang pemimpin itu merupakan perisai, rakyat akan berperang di belakang serta berlindung dengannya. Bila ia memerintah untuk takwa kepada Allah azza wa jalla serta bertindak adil, maka ia akan memperoleh pahala. Namun bila ia memerintah dengan selainnya, maka ia akan mendapatkan akibatnya.
Manakala orang bawahan pula, lantaran tidak puas kerana penindasan dikenakan ke atas dirinya, menjadi tidak redha dengan takdir dan kehidupannya. Kutuk-mengutuk, caci-mencaci menjadi 'nyanyian' lidahnya saban hari bagi meluahkan apa yang terbuku di hati. Orang atasan dikutuk dan diumpat, konon bagi menyatakan ketidakpuasan hatinya, sedang dalam tidak sedar dia sebenarnya telah melakukan dosa mengumpat.
Belum lagi cerita kawan makan kawan, tikam-menikam dari belakang. Di depan nampak baik, tetapi di belakang ia khianat terhadap kawannya. Inilah politik sekarang yang berlaku di mana-mana. Malahan golongan agama juga tidak terlepas dari gejala politik ini. Selagi bernama manusia, selagi itu dosa wujud...
Keadaan ini berterusan tanpa mengira batas tempat dan waktu, di mana sahaja, akan sentiasa ada apa yang dinamakan politik duniawi.. Keadaan seperti ini amat menyedihkan , dan boleh menyebabkan motivasi untuk bekerja menurun dan merudum. Sifat ikhlas bekerja mula luluh, amanah boleh jadi khianat, dan seterusnya...dihujungnya akan lahirlah manusia yang bekerja hanya untuk makan gaji, bukannya kerana menunai amanah. Datang kerja pukul 8, balik pukul 5. Cukup bulan ambil gaji. Kerja dilaksanakan tanpa sifat ikhlas. Kasih sayang dalam organisasi telah hilang cerianya, udara kerja kaku, sejuk, jumud dan menyeramkan , hingga menyebabkan pekerja berasa 'panas' untuk duduk lama di tempat kerja.
Jika keadaan ini berlaku terus-menerus , memaksa kita berfikir, apakah punca semua masalah ini . Meletak jawatan bukanlah satu penyelesaian yang baik, kerana jika kita bertindak demikian, belum tentu apa yang kita dapati selepas itu lebih baik dari tempat kerja lama.
Apa petua yang patut diamalkan untuk dikongsi bersama? Mungkin tips ini dapat menyelesaikan beberapa masalah penyakit rohani .
1. Selepas solat Subuh, ciumlah bau-bauan yang harum dan wangi. Ini boleh menaikkan mood dan menguatkan semangat.
2. Berwiridlah dan berzikirlah selepas solat Subuh, jangan sesekali tinggal wirid. Kalau kesuntukan masa, bacalah wirid yang ringkas. Wirid juga boleh dibaca ketika memandu kereta ke tempat kerja.
3. Mendengar muzik dalam kereta, saya cadangkan dengar nyanyian selawat dan Asmaul Husna.
4. Apabila sampai ke tempat kerja, sebaik melangkah ke pintu pejabat, bacalah Bismillah.
5. Lemparkan senyuman kepada semua rakan dalam pejabat, walaupun mood anda kurang baik pada hari itu. Ingat, anda akan dapat apa yang anda beri. Jika anda memberi kebaikan kepada orang lain, insya Allah anda akan dapat balasan baik juga.
6. Pedulikan apa orang lain kata tentang diri anda. Kalau orang puji, ucap terima kasih dan pujilah Allah. Kalau orang kutuk, persetankan mereka!
7. Ini paling penting dan paling berat nak dibuat, MAAFKAN MEREKA YANG PERNAH MENYAKITI HATI ANDA. (semoga Allah permudahkan saya memaafkan orang yang menyakiti hati saya...)
8. Berakhlak baiklah sesama rakan sepejabat. Bertuturlah dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang.
9. Kepada ketua-ketua unit atau jabatan, kalau nak suruh orang bawahan buat kerja, suruhlah dengan tingkah laku dan akhlak yang baik. Jangan memerintah dengan suara yang keras. Walaupun anda seorang ketua, anak buah anda berhak mendapat layanan baik seperti anda juag. Mereka adalah manusia, bukan hamba abdi atau binatang.
10. Jangan khianat. Tunaikanlah amanah yang diberikan dengan baik.
11. Usah pedulikan orang yang cuba menjatuhkan anda. Allah adalah sebaik-baik tempat sandaran, bukan boss dan lain-lainnya.
12. Jika ada pengampu di tempat kerja anda, biarlah dia hanya sekadar seorang kawan. Jangan kongsi rahsia anda dengannya.
13. Simpan dan tutup aib kawan-kawan anda. Jangan sebarkan. Jika anda melihat rakan anda melakukan kesalahan, tegurlah dengan hikmah. Ajak dia duduk bersama dan jauh dari orang lain. Jangan tegur kesalahan rakan anda di depan staf-staf pejabat yang lain.
14. Banyakkan berdoa. Jika anda rasa anda ada buat kesalahan dengan rakan sepejabat, mintalah maaf kepadanya. Turunkan ego anda. Anda tidak akan terhina kerana meminta maaf.
Kesimpulannya, bersama kita hayati hadis berikut ini:
* Hadis riwayat Ibnu Umar ra.:
Dari Nabi saw. bahawa beliau bersabda: Ketahuilah! Masing-masing kamu adalah pemimpin, dan masing-masing kamu akan dimintai pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja yang memimpin rakyat adalah pemimpin, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin anggota keluarganya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri juga pemimpin bagi rumah tangga serta anak suaminya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya. Seorang budak juga pemimpin atas harta tuannya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpinnya. Ingatlah! Masing-masing kamu adalah pemimpin dan masing-masing kamu akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment