Tuesday, November 18, 2014
يَسِّرَا ، وَلاَ تُعَسِّرَا وَبَشِّرَا ، وَلاَ تُنَفِّرَا ...PEMIMPIN
Imam As Suyuthi dalam kitab Tafsirnya Ad Durrul Mantsur mengutip riwayat Ibn Mardawaih dari Sa’ad bin Abi Waqash bahawa apabila Rasulullah saw. baru datang hijrah ke kota Madinah dari kota Mekah, baginda didatangi oleh Suku kaum Juhainah. Mereka berkata kepada Rasulullah saw.:
“Sesungguhnya engkau telah tinggal di tengah-tengah kami, berikan janji kepada kami bahawa kami akan menjaga ketenteraman engkau dan engkau akan menjaga keamanan kami”.
Nabi Saw. bertanya: “Kenapa kalian meminta perkara yang demikian ini?”.
Mereka menjawab: “Kami meminta keamanan”.
Lalu turunlah firman Allah SWT:
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin (QS. At Taubah 128).
Jelaslah bahawa kehadiran Rasulullah Saw. dipastikan akan memberikan keamanan bagi siapa jua yang beriman kepada kenabian baginda Saw . Memang sebagai seorang pemimpin yang baru di kota Madinah, Nabi Muhammad saw. harus memberikan jaminan keamanan untuk seluruh warga kota Madinah. Kepemimpinannya bukan hanya berdimensikan dunia sahaja, tetapi juga akhirat. Jaminan keamanan yang diberikan oleh baginda cukup jelas dan realistik bukan setakat di dunia, malah juga di akhirat. Sebab dalam ayat tersebut menjelaskan betapa agungnya jiwa Rasulullah Saw yang sangat peka dan terasa oleh baginda walaupun penderitaan umat ini yang mereka alami di dunia. Bahkan beliau sangat merasakan betapa beratnya bebanan jika umatnya nanti merasakan siksa dari Allah SWT di akhirat. Segala kepedulian baginda terserlah tatkala baginda menghadapi kewafannya, baginda sempat lagi bersabda: Ummati, ummati!
Baginda Rasulullah Saw. bekerja keras siang dan malam tanpa mengenal rasa lelah. Baginda terus bekerja dan bekerja, berjuang dan berjuang, untuk menyebarkan hidayah, memberikan penerangan, membacakan ayat-ayat Al Quran dan menyampaikan wahyu-wahyu sebagai bimbangan dan petunjuk Allah SWT buat kehidupan manusia agar seluruh umat manusia memahami erti kehidupan, mengerti bahawa dunia adalah suatu tempat untuk beramal untuk menuai hasil kebajikan di akhirat nanti. Dengan mengamalkan seluruh petunjuk Al Quran dan As Sunnah yang baginda Rasulullah saw sampaikan, maka umat Islam sebagai pengikut Nabi Muhammad saw. dijamin keselamatannya dunia akhirat.
Nabi Rasulullah saw. bersabda: “Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang jika kalian berpegang teguh kepada keduanya pasti kalian tidak akan tersesat selamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasululullah Saw.”.
Dalam usaha untuk menjaga segala keperluan golongan faqir miskin terpenuhi dan cukup semuanya, tidak kelaparan, maka Nabi Muhammad saw. sebagai pemimpin, seorang penguasa, yang sekaligus Nabi, baginda jelas memberikan contoh dan petunjuk tentang apa dan bagaimana yang harus dilakukan oleh seorang pemimpin.
Ketika mengutus sahabat Mu’adz bin Jabal sebagai Penguasa Negeri Yaman, Rasulullah saw. bersabda:
ادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللهِ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ.
"Ajaklah mereka bersyahadat bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawasanya aku adalah Rasulullah Saw. Kalau mereka mengikuti hal itu, maka ajarkan kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan mereka solat 5 waktu setiap hari. Jika mereka telah mengikuti hal itu, maka ajarkanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan kepada mereka untuk membayar zakat harta mereka yang diambil dari orang kaya di antara mereka lalu dikembalikan kepada orang-orang fakir” (Sahih Bukhari Juz 2/130).
Rasulullah saw. membagi harta rampasan (fai’i) dari kaum Yahudi Bani Nadhir yang melakukan tipu daya hendak membunuh Nabi saw. sehingga diusir dari kota Madinah, kepada seluruh kaum Muhajirin kerana mereka adalah orang-orang yang hijrah dari Mekah ke Madinah tanpa membawa harta benda mereka. Manakala bagi kalangan Ansar , hanya dua orang fakir yang diberi harta rampasan tersebut. Kebijakan tersebut adalah kebijakan serta kebijaksanaan seorang pemimpin yang adil kerana mengikut hukum syariah Allah yang Maha Adil.
Allah SWT telah memberikan alasan mengapakan hukum pembahagian tersebut, dalam firman-Nya:
كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
….agar jangan harta beredar di kalangan orang kaya di antara kalian sahaja. Maka apa saja yang diberikan oleh rasulullah saw. kepada kalian ambillah. Dan apa saja yang dilarang Rasulullah saw. tinggalkan. Dan bertaqwalah kepada Allah sesuangguhnya Allah sangat keras siksaNya. (QS. Al Hasyr 7).
Sayyid Qutb dalam Tafsir fi Zhilalil Quran mengatakan dalam ayat di atas Allah SWT tidak berfirman “Laqad Jaa-akum rasulun minkum” (Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kalian) tapi dengan lafazh “Laqad Jaa-akum rasulun min anfusikum” (Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri). Lafaz tersebut memberikan sentuhan perasaan yang lebih kuat dan hubungan yang lebih mendalam. Memang pemimpin itu haruslah dari orang yang benar-benar berasal dari kalangan masyarakat itu, bukan dari yang lain. Harus memiliki persamaan kebudayaan dan percantuman antara pemimpin dengan yang dipimpin.
Dalam hal ini , Nabi saw. berpesan kepada para pemimpin yang ditugaskan di suatu tempat agar benar-benar melayani masyarakat setempat dengan baik.
Nabi bersabda:
يَسِّرَا ، وَلاَ تُعَسِّرَا وَبَشِّرَا ، وَلاَ تُنَفِّرَا ...
Permudahlah rakyat jangan dipersulit, dan gembirakanlah rakyat dan jangan dihardik (Sahih Bukhari Juz 4/79).
Oleh hal yang demikian, kita memerlukan seorang pemimpin yang santun, melayani, dan mengayomi, bukan suka mengherdik dan mengugut rakyat yang berdemo, yang menyaran penguatkuasa undang-undang berbuat sesuatu tindakan melampaui batas susila dan hak untuk meluahkan rasa. Tentu yang seperti itu bukan kelas pemimpin. Seorang yang lemah, yang lebay, yang tidak kuat mental. Paling tidak dia bukanlah pemimpin yang kita perlukan. Bukan yang menghilangkan apa yang rakyat dahagakan. Pemimpin seperti Rasulullah saw. atau seperti Khalifah Umar yang mengucapkan syukur Alhamdulillah, seandainya masih ada umat Muhammad yang ingin meluruskan Umar dengan pedangnya bila pentadbiran beliau menyeleweng dari syariat Allah dan Rasul-Nya.
Kita tidak memerlukan pemimpin yang mengheret kita bersama ke neraka dan tidak membawa umat atau kelompok rakyatnya menuju ke syurga.
Allah SWT berfirman:
أُولَٰئِكَ يَدْعُونَ إِلَى النَّارِ ۖ وَاللَّهُ يَدْعُو إِلَى الْجَنَّةِ
Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan ampunan dengan izin-Nya. (QS Al Baqarah 221)
Amin, ya Rabbal alamin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment