Zaman sekarang telah menampakkan kepada kita akan banyaknya kepincangan perilaku, merosotnya nilai akhlak dan tersebarnya kemaksiatan. Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh dan di luar nilai akhlak manusia telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.
Malu adalah sebahagian daripada iman. Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim. Malah Rasulullah sendiri merupakan insan yang sangat pemalu.Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Rasulullah lebih malu sifatnya dari seorang gadis.
Memiliki sifat malu adalah sesuatu yang sangat penting. Kewujudan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya daripada membuat perkara yang dilarang. Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat. Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar dan bertentangan dengan perintah Allah SWT. Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya. Hal ini demikian, kerana malu telah menjadi perisai dirinya.
Rasulullah pernah bersabda:
“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.”(HR Bukhari)
Ajaran para nabi sejak dahulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam ada sebahagiannya telah luput. Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.
“Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati. Tetapi bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan. Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang. Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan pelbagai bentuk kemaksiatan bermula dari mata, hidung, mulut,, telinga tangan dan kaki.
Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal. Kebetulan ketika itu Rasulullah SAW sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda Rasulullah SAW telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata: “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.”
Malah terdapat hadis tentang malu yang maksudnya:
Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: “Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Shahih Muslim)
Selain itu,Nabi saw. juga pernah bersabda: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Shahih Muslim)
Antara faktor-faktor kepincangan nilai-nilai murni ini di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri. Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu. Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu. Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu. Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu. Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu. Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu. Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu. Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu. Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis dan menyanyi melalak terlolong akibat tidak malu. Pemimpin mula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan apabila pudarnya malu. Pemerintah mula melakukan kezaliman, juga akibat dari hilangnya serta luluhnya sikap dan rasa malu. Dan macam-macam lagi.
Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela. Sebab itu sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara. Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu. “Just Do It” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat. Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun semuanya itu perlu diperhalusi. Agar kaum muslimin tidak lari dari landasan nilai agama yang diajar Rasulullah SAW.
Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam soal atau perkara menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu. Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah SAW tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan. Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu. Sifat ini wajar kita contohi.
Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”. Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu. Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia. Kerana ALLAH SWT menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.
Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita. Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut. Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.
No comments:
Post a Comment