Ilustrasi.
LETIH, satu perkataan yang selalu kita ungkapkan. Desakan kerja yang menggunung, bebanan tugas yang melangit menyebabkan fizikal menjadi tidak tentu haluan. Di sini perlu diketahui bahawa pengurusan waktu yang baik amat penting . Allah telah memberikan untukku 24 jam sehari. Cukup dan teramat cukup bagi kita untuk menggunakannya. Masa akan mencemburui seandainya kita curang terhadap masa. Bagaimana? Kita melakukan perkara-perkara yang tidak relevan. Kita mengadu badan dan minda mengalami keletihan tetapi bukan disebabkan dengan aktiviti senaman atau membaca Quran tetapi berkhayal dengan laman maya di taman dan lena dengan angan-angan yang tidak berpenghujungan.
Buat semua kita, ubahlah dan perbaiki diri supaya menjadi insan yang punya kekuatan. Walau penat dan letih tetapi masih mampu untuk bangkit bagi meneruskan dakwah demi agama. Biar letih dalam menuntut ilmu, tetapi janganlah kita ketagih di dalam melakukan perkara yang tidak berkualiti! Segala apa yang kita miliki ini semuanya pinjaman dari yang Allah, termasuklah diri kita sendiri. Siapa kita untuk berkira dengan Allah. Jika masa kita banyak terluang untuk urusan duniawi, jangan sekali kita sempitkan ruang masa pula untuk urusan Akhirat! Nanti semuanya akan dipersoalkan dipengadilan Allah.
SAKIT, seandainya kita letih, mudah untuk sakit mengunjungi kita. Tetapi sakit boleh dirawati dengan mendengar ayat-ayat suci Al quran dan zikir Ilahi. Percayalah. Al-Quran dan doa mampu merawat segala keletihan dan kesakitan yang kita hadapi. Allah yang memberikan penyakit dan Allah jua yang menyembuhkan penyakit. Tiada penyakit yang tidak dapat diubati melainkan mati. Ada satu ungkapan menarik dari seorang Doktor terkenal di tanah air kita. Menurut beliau, ketika kita ditimpa penyakit, jangan sesekali kita mengeluh sakit dan menyatakan bahawa kita tidak sihat. Perkataan ini akan menghantar mesej kepada otak kita dan menyebabkan pesanan yang negatif dihantar kepada tubuh badan kita.
Elakkan dari mengucapkannya tetapi banyakkan menyebut ayat- ayat Allah dan positifkan perkataan kita itu. Kita sihat dengan izin Allah! Sakit itu merupakan tanda bahawa Allah sayang pada kita. Segala keperitan yang menghantui, itu adalah tanda Allah sedang menguji kita. Jangan sesekali kita berduka, hadapilah dengan tabah. Ada kebanyakan kita orang apabila ditimpa dengan penyakit yang membahayakan, akan merasakan diri mereka tidak berguna lagi dan hanya menunggu masa untuk kita bertemu Ilahi. Jangan sesekali berfikir sebegitu rupa. Ingat! Allah Maha Besar dan Maha Berkuasa. Kun Fayakun. Apa sahaja yang Allah hendak ciptakan atau rencana pasti akan terjadi. Pasti! Begitu juga dengan penyakit kita, walau pun sekritikal mana, seandainya Allah ingin menyembuhkan penyakit kita, itu pasti akan sembuh. Semuanya adalah dengan izin Allah swt.
SEDIH, juga merupakan salah satu ujian daripada Allah. Dalam kehidupan kita, tidak semestinya segala yang kita lalui adalah indah dan senang. Pasti ada duka, rencah gempita pasti menyelinap dalam dunia kehidupan. Namun kita harus tabah dan redha dalam menghadapinya. Ada dalam kalangan kita, apabila menerima kehidupan yang indah mudah lupa pada Penciptanya, tetapi apabila ditimpa musibah, mulalah ingin mendekati Penciptanya. Begitulah lumrah kehidupan. Layak sebenarnya kita diibaratkan ‘kacang lupakan kulit’. Tetapi tidak layak untuk kita melupakan Allah. Allah pencipta kita. Allah Maha Agung, Subbhanallah. Allah menguji kita dengan rasa sedih agar kita kembali kepada NYA, agar kita bermuhasabah diri . Begitulah hebatnya perasaan negatif yang Allah kurniakan kepada kita tetapi dalamnya termaktub berjuta simbol positif mengapa Allah ciptakan perasaan tersebut.
Sedih itu perlu ada pada dan hidup dalam diri manusia. Kesedihan jika disirami air mata keinsafan, akan mampu menghindarkan diri dari api neraka. Alirkanlah air mata keinsafan agar kita mampu menghasilkan tenaga kekuatan sebagai hamba Allah yang mempunyai banyak taklifan di dunia ini. Sedih dengan manusia, Allah tempat kita mengadu, sedih dengan kehidupan, Al-Quran menjadi rujukan, sedih dengan tohmahan, jadikan nabi sebagai panduan dan pedoman dalam menerima ujian. Ubat kesedihan ini akan menjadi penawar pada kepayahan kita dalam melayari kehidupan. Bergembiralah dalam menerima ujian. Kita tidak dapat menggembirakan orang lain selagi kita tidak merasa gembira dengan diri kita.
Kesimpulannya, semua rasa LETIH, SAKIT DAN SEDIH ini adalah datang dari Allah S.W.T dan janganlah sesekali kita menyerah kalah. Dekatkan diri kita pada Allah, tautkan hati untuk sentiasa mengingati Allah. Ketenangan itu hanya hadir jika kita merasakan Allah ada di sisi kita. Maksiat itu akan terhenti mengalir membasahi diri manusia ,seandainya kita yakin Allah sentiasa memerhatikan kita.
Amin, Ya Rabba Alamin. Wassalam
No comments:
Post a Comment