Tuesday, February 5, 2013

KAYA DIREDAI ALLAH.



Dalam Islam, kita disuruh untuk berusaha dan tidak dianjurkan untuk menyerah nasib bulat-bulat kepada Allah sedangkan kita belum berusaha lagi. Tidak ada ertinya kaya tetapi dalam keluarganya penuh dengan khianat dan maksiat. Ketenangan juga tidak akan diperolehi dalam keluarga yang meninggalkan suruhan Allah, tidak mengamalkan kehidupan Islam sebenar.

Dalam mencari rezeki dan kekayaan, ada ketikanya kita lupa untuk meneliti sama ada cara kita itu betul atau tidak berpandukan al-Quran dan Sunnah. Adakah kita menggunakan  idea dan dasar Machiaveli iaitu “Matlamat menghalalkan cara”  menjadi ikutan kita. Atau kita merasa bangga berpegang pada falsafah Tsun Tze Art or War iaitu seni berperang – asalkan menang. Kita tidak menyedari bahawa perkara itu adalah bertentangan dengan Islam dan, tubuh dan anggota kita akan disoal di depan Allah Rabbul Jalil di Padang Mahsyar.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak sampai seseorang hamba keperingkat golongan orang-orang bertaqwa, sehinggalah ia tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang dan sentiasa berhati-hati daripada melakukan perkara-perkara yangmenimbulkan keraguan (perkara-perkara syubhat).” H.R. at-Tarmizi.
Kekayaan dan mengumpul harta untuk mengukuhkan ekonomi sangat digalakkan di dalam Islam dengan syarat-syarat tertentu seperti mengeluarkan zakat, bersedekah untuk meninggikan syiar Islam atau melakukan apa sahaja kebajikan yang harus di sisi syarak. Ini penting kerana dengan cara ini tabungan (dana), pembahagian dan perluasan sumber sesama Islam boleh dilaksanakan dengan baik dan lancar untuk kepentingan sesama umat Islam bagi mengelak daripada pinjam-meminjam, hutang-menghutang dan sebagainya.
Rezeki dan kemewahan datangnya daripada Allah s.w.t. Setiap manusia dituntut untuk berusaha mengubah nasibnya tetapi diingatkan agar tidak bersikap rakus dan tamak sehingga mencetuskan permusuhan dan perbalahan, dengki-mendengki dan sebagainya. Sebaliknya hendaklah bersikap wasyatiyyah atau sederhana dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah sama ada banyak ataupun sedikit.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya.” H.R. Ibn an-Najjar.
Mencari rezeki yang halal adalah menjadi suatu kewajiban bagi setiap mukmim. Oleh itu Islam menuntut supaya umatnya banyak bersabar dan jangan mudah berputus asa dalam mencari rezeki tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT. kerana rahmat Allah adalah sangat luas dan Allah tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.
Sesungguhnya kemiskinan dan kesempitan hidup adalah satu ujian daripada Allah begitu perlu direnungkan juga bahawa pendapatan (rezeki) yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia itu sebenarnya adalah lebih baik daripada (rezeki) yang banyak tetapi melalaikan. Di sinilah pentingnya keberkatan rezeki yang bakal menentukan kebahagian hidup manusia di dunia dan akhirat.Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah kepadanya. Maka takutlah kepada Allah dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah tidak akan dapatdiperolehi melainkan dengan cara ketaatan.”  H.R. Ibn Majah dan at-Tabrani

Apabila anda membaca artikel ini, niat kena lah betul. Kalau niat anda tak betul, sia-sia sahajalah perbuatan anda. Setiap amal seseorang adalah di kira daripada niatnya. Sekiranya niatnya betul, maka betullah perjalanannya. Dalam hal ini, niat anda untuk kaya mestilah betul dan waspada sekali.
Apa salahnya jika anda niatkan kaya untuk manfaat seluruh alam, untuk kebaikan keluarga anda, masyarakat sekeliling anda, negeri anda dan seluruh dunia? Selagi kaya anda, selagi banyak anda boleh sumbangkan untuk kebaikan sejagat, lagi banyak anda boleh berderma, berfisabilillah, berjihad dan bantu-membantu sesama anda. Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda bahawa “Tiap sesuatu bermula dengan niat…”

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...