KEMALANGAN MAUT...
PENGLIMA BAYU (TANAH MERAH) – Seorang pesara jururawat maut dan suaminya parah apabila dilanggar ketika melintas jalan di hadapan masjid Kampung Panglima Bayu di Kilometer 71 Jalan Tanah Merah-Jeli, jam 7 pagi Sabtu (3/3/2012.
Mangsa, Kamariah Othman,61, dan suaminya Yahya Ahmad, 65, dikatakan sedang melintas jalan menuju ke gerai makan selepas menunaikan solat subuh di Masjid Kampung Panglima Bayu, di sini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abd Aziz Mahmud berkata, pasangan terbabit merupakan ahli rombongan persatuan surau Taman Ixora, Terengganu.
“Kamariah dirempuh oleh dua kereta dari arah Tanah Merah ke Jeli dan kali ketiga oleh sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan
ketika wanita itu berhenti di garisan berkembar di tengah jalan.
“Suami mangsa, Yahya turut rebah selepas rempuhan kali pertama, namun sempat bangun dan menyelamatkan diri dalam keadaan cedera parah. Dia dihantar orang ramai ke Hospital Tanah Merah,” katanya ketika dihubungi di sini.
Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan suaminya turut dihantar kesana untuk menerima rawatan.
Ekoran daripada kejadian tersebut rombongan dari surau Taman Ixora, Kemaman, Terengganu itu yang mahu ke Rantau Panjang itu berpatah balik dan membatalkan perjalanan tesebut.
Sementara itu, rakan mangsa yang turut menyertai rombongan terbabit, Sharifah Mohd, 68, berkata, tiada perubahan ketara dapat dilihat pada kelakuan ketika dalam perjalanan hanya dia kelihatan ceria dan sering bergurau.
Menurutnya, dia dan ahli rombongan lain tidak menyangka kejadian tersebut menimpa Kamariah dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.
“Selepas solat subuh semua ahli rombongan lain sudah melintas ke seberang jalan untuk kedai makan , tetapi hanya mangsa dan suami naik semula ke dalam bas kerana ingat pemandu bas ingin berhenti di tempat rehat lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment