Monday, March 5, 2012

TRANFORMASI UNTUK PELAJAR TINGKATAN 6 2012/2013/

Kurikulum Baharu Tingkatan 6 Sesi 2012/2013

Untuk maklumat, pada 4 Januari 2012 yang lalu, jemaah menteri dalam mesyuaratnya telah meluluskan Kurikulum Baharu Tingkatan 6 yang  melibatkan perubahan Sistem Pentaksiran STPM. Hal ini merupakan satu inovasi dalam kurikulum dan sistem pentaksiran STPM. Pelaksanaannya akan bermula pada penggal kedua nanti iaitu untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6 Rendah sesi 2012. Kurikulum baharu ini merupakan antara transformasi pendidikan yang dilakukan oleh kerajaan. Hal ini bersesuaian dengan keperluan pelajar-pelajar Tingkatan 6 yang lebih matang kerana mereka akan melangkahkan kaki ke universiti. Jadi, pedagogi, yang digunakan sebelum ini ditukar kepada andragogi yang lebih sesuai untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6.
Dengan terlaksananya kurikulum  ini, Kementerian Pelajaran diandaikan akan dapat melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing, berfikiran analitikal, inovatif, kreatif dalam menghadapi cabaran dunia globalisasi. Selain itu, sistem ini akan berupaya untuk memberikan nafas baharu kepada pelajar dengan menyediakan satu suasana dan sistem pembelajaran yang lebih sesuai untuk pelajar-pelajar Tingkatan 6 atau Pra-U ini dan  dirasakan dapat menarik perhatian para lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian mereka ke Tingkatan 6.
Kurikulum baharu ini  tidak melibatkan perubahan kepada sistem persekolahan yang diamalkan pada masa ini. Sistem  ini cuma melibatkan perubahan kurikulum dan sistem pentaksirannya  . Pelajar-pelajar Tingkatan 6 akan mengikuti pengajian selama 3 penggal iaitu Penggal 1, 2, dan 3. Para pelajar pula akan menduduki peperiksaan berpusat bagi setiap penggal. Selain peperiksaan berpusat, pelajar-pelajar juga akan menghadapi Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) pada penggal ke-2 dan ke-3. Keputusan peperiksaan bagi setiap penggal pula akan diumumkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia selepas penggal berakhir. Selepas penggal ke-3 berakhir, Gred Purata Keseluruhan akan dikeluarkan oleh MPM. Bagi pelajar-pelajar yang berhasrat untuk membaiki gred purata mata pelajaran masing-masing, mereka dibenarkan untuk berbuat demikian pada Penggal ke-2 atau ke-3. Pelajar-pelajar  dikehendaki membuat pembayaran sebanyak RM50.00 bagi setiap mata pelajaran untuk menduduki peperiksaan itu semula.   
Berdasarkan kurikulum  ini, para pelajar akan lebih berfokus dalam pengajian mereka. Isi kandungan pelajaran yang dipelajari dalam setiap penggal akan diuji dan dinilai dalam penggal itu sahaja. Perkara ini samalah seperti kurikulum yang diamalkan di kolej matrikulasi dan di universiti, cuma perbezaannya ialah mereka menggunakan sistem semester, tetapi Tingkatan 6 menggunakan sistem penggal. Bagi guru-guru Tingkatan 6 pula, mereka perlu memfokuskan pengajaran mereka dalam setiap penggal berdasarkan topik-topik yang telah ditetapkan oleh MPM dalam Sukatan Pelajaran yang terbaharu itu. Selain itu, guru-guru diberikan kuasa untuk membuat penilaian terhadap kerja kursus atau kertas penyelidikan pelajar dan markah tersebut akan dihantar melalui atas talian kepada MPM. Hal ini dirasakan dapat meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti guru dalam menjayakan transformasi sistem baharu Tingkatan 6 ini. 


    Di samping itu, guru-guru perlulah memberikan penekanan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang baharu iaitu berasaskan kuliah dan tutorial bagi menjadikan proses pembelajaran itu suatu pengalaman yang menarik dan berkesan di samping mampu melahirkan murid yang berfikiran kritis, analitis dan mempunyai minda teroka yang tinggi. 

   
 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...