Monday, March 5, 2012

SUSUK DARI PERSPEKTIF ISLAM

Pakailah pakaian yang sunnah iaitu pakaian yang tidak melewati mata kaki, sekalipun orang-orang sekitar kita menganggap kita aneh, kerana itulah sunnatullah bagi para penegak sunnah; mereka akan dicemooh, dianggap asing, dijauhi. Namun bersabarlah diatas sunnah, nescaya Anda termasuk dalam sabda Nabi Shalallaahu ‘alaihi wasallam : “Islam ini awal kali munculnya dalam keadaan asing, dan akan kembali asing sebagaimana awal munculnya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing.” (HR. Muslim)



SUSUK ialah memasukkan sesuatu benda ke dalam tubuh dengan cara tertentu untuk tujuan tertentu. Biasanya susuk dipasang untuk tujuan kecantikan, kekuatan, awet muda dan penunduk. Pemakaian susuk biasanya melibatkan campur tangan jin yang dipuja bagi menjaga kawasan anggota yang dipakai susuk, Susuk dipakai pada muka bagi tujuan tarikan kecantikan pada pinggang, betis, alat-alat sulit bagi tujuan kecantikan.

Ianya dipasang oleh bomoh-bomoh tertentu menggunakan alat-alat yang tertentu. Biasanya sebelum memasukkan susuk, bomoh-bomoh akan melakukan pemujaan-pemujaan terhadap jin. Susuk yang dimasukkan ke dalam tubuh itu biasanya terdiri daripada logam seperti perak, berlian, besi, suasa, tembaga dan sebagainya.

Orang yang memakai susuk akan memiliki wajah yang cantik yang luar biasa, kekuatan yang luar biasa dan umur yang sentiasa muda.

Pemakaian susuk amat seksa dan menyakitkan pemakai ketika ianya dipakai dan selepas dipakaikan berminggu-minggu lamanya si pemakai bekurung di dalam rumah akibat kesan daripada pemakaian itu seperti mengalami bengkak-bengkak, gatal-gatal dan sebagainya.

Setiap susuk yang di pasang biasanya dikenakan bayaran tertentu dan harga bayarannya boleh mencecah ke puluhan ribu ringgit.

Semakin lama umur susuk di dalam badan seseorang semakin kuat pemakainya, semakin tua si pemakainya maka semakin cantik wajahnya dan semakin kuat kudratnya.
Keanggunan wajah orang yang memakai susuk ini sungguh menakjubkan serta kejelitaannya boleh memukau sesiapa sahaja yang melihat wajahnya.

Amalan memakai susuk ini diamalkan oleh orang-orang jahiliah dan sejarah susuk ini bermula dari zaman Firaun di mana seorang tua yang berumur ratusan tahun kelihatan muda seperti umur belasan tahun kerana susuk yang dipakainya.


SUSUK & SIHIR DARI PERSPEKTIF ISLAM
Pemakaian susuk,biasanya melibatkan ilmu sihir. Susuk juga dipakai di tempat tertentu seperti muka, badan, malah kemaluan dan jika ada yang mendakwa menggunakan ayat al-Quran, jelas bertentangan dengan Islam. Melihat kepada apa yang didakwa (menggunakan ayat al-Quran), ia sama seperti bomoh melakukan jampi tetapi mendakwa menggunakan ayat al-Quran.

Tentang pembelajaran ilmu sihir, al-Quran mengatakan:-

"Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka." (al-Baqarah: 102)

Rasulullah s.a.w. menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang boleh menghancurkan sesuatu bangsa, dan dapat merendahkan derajat pelakunya di dunia ini lagi. Justeru itu Nabi bersabda:-

"Jauhilah tujuh perkara besar yang merosak. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, iaitu:
1) menyekutukan Allah;
2) sihir;
3) membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT kecuali kerana hak;
4) makan harta riba;
5) makan harta anak yatim,
6) lari dari peperangan;
7) menuduh perempuan-perempuan baik yang beriman dan terjaga."
-(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian ahli fiqh menganggap, sihir itu bererti kufur, atau membawa kepada kufur. Sementara ada juga yang berpendapat; ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat dari bahaya sihir.

Al-Quran juga telah mengajar kita supaya kita suka berlindung diri kepada Allah dari kejahatan tukang sihir, yaitu firmanNya:

"(Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul." (al-Falaq: 4)

Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis dikatakan:-

"Barangsiapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barangsiapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik." (Riwayat Thabarani dengan dua sanad; salah satu rawi-rawinya adalah thiqah).

Susuk ini ada persamaannya dengan peniup simpul ini, iaitu dijampi susuk itu dan kemudiannya di masukkan ke dalam tubuh.

Jelas, bahawa pemakaian susuk amat mampu mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah. Ini juga telah diharamkan melalui hadith-hadith yang sohih sebagaimana pengharaman kepercayan kepada tangkal dan menggantungnya.

Pemakai susuk akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk digunakan dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar.

Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun pembedahan plastik dan botox.

KESIMPULANNYA

Botox atau pembedahan plastik yang dibenarkan ialah jika tidak dilakukan akan mendatangkan mudarat kesihatan kepada individu, mengembalikan kecacatan kepada bentuk kejadian manusia normal. Manakala susuk tidak dibenarkan sama sekali.

Tujuan yang tidak dibenarkan adalah untuk kelihatan lebih cantik dari apa yang dianugerahkan, pembedahan mendatangkan lebih bahaya dan memudaratkan.

Syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam: memiliki keperluan tidak bercanggah syariat untuk melakukan pembedahan; untuk tujuan kesihatan semata-mata dan tiada niat lain; mesti diakui doktor Islam dan pakar dalam bidang itu; doktor yakin pembedahan boleh berjaya dilakukan tanpa risiko bahaya dan mudarat; mendapat persetujuan pesakit dan wali.

Peraturan umum kecantikan Islam: tidak mengubah ciptaan Allah; tidak memudaratkan diri seperti kesakitan pada tubuh atau bertambah beban kewangan; tiada unsur penipuan atau untuk membanggakan diri; tidak membazir; tiada unsur najis; tidak menyerupai jantina berlainan; tidak menyerupai orang kafir dan fasik; wanita hanya berhias untuk suami dan mahramnya sahaja.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...