Thursday, July 11, 2013

AMALAN MEMANAS ENJIN KERETA : BAIK ATAU BURUK ?

Efek Sampingan ‘Memanaskan’ Enjin
Ramai pemilik kenderaan percaya  (termasuk ambo, tu dulu.) bahawa enjin perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Adakah amalan itu sesuatu yang baik atau sebaliknya?
Biasanya, kerja amal ini dilakukan pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja atau ke sesuatu destinasi. Ada yang memanaskan enjin kenderaannya selama satu minit dan ada juga yang  selama 5 minit. Ada juga yang lebih bijak lagi, menghidupkan enjin kereta dulu, masuk rumah, sarapan, pakai stokin, pakai kasut, kunci pintu dan baru terhegeh-hegeh masuk kereta untuk memulakan perjalanan.
Sekarang persoalannya,  adakah  amalan memanaskan” enjin ini wajar dilakukan dan diteruskan? Apa kesan baik dan apa kesan buruknya?
JELASNYA:
Di kebanyakan negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar untuk kehidupan dunia yang lebih baik di masa mendatang, pemanasan enjin  tidak digalakkan dan sesetengahnya dilarang sama sekali.
The Canadian Office of Energy Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu persekitaran berada di  bawah suhu 20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan  sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya.
Salah seorang jurutera di Ford, Amerika Syarikat iaitu Les Ryder berkata, Engines run best at their design temperature. Berdasarkan kenyataan tersebut, operasi enjin yang efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah selsius. Oleh itu membiarkan enjin anda di dalam keadaan idle bukanlah cara yang terbaik untuk memanaskan enjin.
DINDING SILINDER CEPAT HAUS
Sikap kita sebagai pemilik kenderaan memanaskan enjin atau membiarkan enjin berada di dalam keadaan idle sebenarnya tidak mendatangkan faedah. Pertamanya keadaan ini menyebabkan pembakaran bahan api tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada dinding silinder. Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding silinder lalu membersihkan minyak pelincir yang berada di dinding silinder. Maka apa yang terjadi adalah dinding silinder akan haus akibat tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan api yang tidak terbakar akan turun perlahan-lahan ke bahagian takung (Oil Pan) minyak pelincir. Akibatnya minyak pelincir akan cepat tercemar.
PALAM PENCUCUH CEPAT KOTOR
Di samping itu, sikap kita seperti ini juga boleh mendatangkan masalah gangguan suhu-kerja palam pencucuh (Spark Plug). Palam pencucuh yang tidak berada di suhu sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian akan mendatangkan kesan kepada peningkatan penggunaan bahan api, dan jangka hayat palam pencucuh itu sendiri.
PAIP EKZOS CEPAT BERKARAT
Pada waktu pagi, sesetengah kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap dari ekzos. Wap itu bukanlah wap minyak daripada enjin yang mengalami haus. Ini adalah wap air normal yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi, apabila terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan idle, maka bertambah lamalah masa yang diambil untuk enjin panas. Ini menyebabkan wap air akan sentiasa berada di dalam sistem ekzos yang mana akan menjadikan paip ekzos cepat berkarat.
PENCEMARAN ALAM SEKITAR
Kebanyakan sistem ekzos kenderaan hari ini dilengkapai dengan Catalytic Converter. Tujuan Catalytic Converter ini ialah untuk mengurangkan tahap toksik yang terdapat pada sisa atau hasil pembakaran sebuah enjin. Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah menukarkan karbon monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan nitrogen oksida kepada nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang tidak terbakar kepada karbon dioksida dan air dan sebagainya.
Jika kita membiarkan enjin berada dalam keadaan pepura (idling), komponen ini tidak berfungsi, dan akan menambah lagi pencemaran udara. Bagi memastikan komponen ini cepat dan dapat berada di suhu yang mana  boleh beroperasi (400 – 600 darjah), kereta tersebut perlu dipandu dan BUKAN meninggalkan kereta dalam keadaan statik (hidup tanpa bergerak). Semakin lama enjin dibiarkan dalam keadaan idling maka semakin lama jugalah Catalytic Converter “tidur” dan tidak bekerja. Kalau dibiarkan berterusan, apa agaknya yang terjadi kepada alam sekitar, dan umat manusia yang akan datang? Pasti anda ada jawapannya !
APA YANG HARUS DILAKUKAN
Setelah kita mengetahui  sedikit sebanyak tentang keburukan memanaskan enjin, adakah kita akan terus mengamalkannya?
Ketahuilah, apabila enjin tidak dihidupkan dalam satu tempoh yang agak lama, contohnya, mungkin sehingga satu malam, bahan pelincir akan turun meninggalkan komponen bergerak (Moving Parts) di dalam enjin dan bertakung dalam takungan bawah enjin (Oil Pan).
Oleh itu, setelah enjin dihidupkan, ambillah sedikit masa  20 hingga 30 saat  untuk minyak yang bertakung dalam Oil Pan naik ke atas dan melincirkan komponen enjin.
Bagaimana ini berlaku?
Setiap enjin dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir (Oil Pump). Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin laju crankshaft berputar maka makin cepat pam berputar dan seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin. Apakah tujuan ini akan tercapai dengan hanya membiarkan enjin berada dalam keadaan idle untuk jangka masa lama?
KESIMPULANNYA
Sikap kita suka memanaskan enjin kenderaan di waktu pagi yang yang kita anggap, lagi lama lagi bagus adalah sesuatu yang karut semata, yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Perkara seperti ini menjadi ikut-ikutan dan bukan satu perkara yang pelik bagi kebanyakan pemilik kenderaan di negara kita .
Setelah membaca pernyataan di atas, apakah andaian kita kini ??? Mahu percaya atau tidak, terserah, tepuk kereta tanya duit di poket anda. Hehehehe...bye.
Wassalam.
Di olah dari pelbagai sumber internet.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...