"Permulaan Ramadhan itu adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan (maghrifah) dan penghujungnya adalah kebebasan dari api neraka"
Setiap kita mempunyai dosa sama ada dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja. Apatah lagi kita yang hidup pada zaman mutakhir ini, kita sering kalah dengan godaan luaran dan pujukan nafsu dalam diri kita sendiri.
ALLAH Subhanahu wa Ta’ala sentiasa tahu kelemahan kita. DIA tahu kita selalu lupa, kita sering gagal menghindari dosa. Dan DIA tahu fitrah manusia yang mahu kembali kepadaNYA. Betapa baiknya DIA, betapa lembutnya DIA dengan kita. Kita seharusnya berterima kasih dengan sungguh-sungguh kerana DIA sentiasa bersedia memberi keampunan kepada hamba-hambaNYA yang ingin bertaubat.
Firman ALLAH Subhanahu wa Ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah az-Zumar 39:53)
Malah, ALLAH ‘Azza wa Jalla sangat gembira dengan sikap hamba-hambaNYA yang mahu bertaubat dan kembali kepadaNYA. Dalam sebuah hadith, ada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda yang lebih kurang maksudnya:
“Sungguh ALLAH itu lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA, melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menemukan kembali untanya yang telah hilang di tengah-tengah padang gurun.” (HR Bukhari & Muslim)
Nah, lihatlah betapa gembiranya ALLAH Subhanahu wa Ta’ala menerima taubat orang yang bertaubat. Justeru, jangan putus asa dan kecewa. Walau banyak mana pun dosa kita, insyaALLAH DIA akan terima taubat kita. Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
“Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-KU dan berharap kepada-KU, akan AKU ampuni apa yang telah kamu lakukan. Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada-KU akan AKU ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-KU tanpa menyekutukan AKU dengan sesuatu apapun, pasti AKU akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (HR. Tirmidzi, ia berkata, ”hadits ini hasan shahih.)
SubhanALLAH, menitis air mata kita apabila mengenangkan betapa Pemurahnya DIA, betapa Pengampunnya DIA, betapa tak kisahnya DIA akan dosa kita yang menggunung, DIA tetap akan terima kita jika kita mahu kembali kepadaNYA, betapa lembutnya DIA terhadap kita, betapa Penyayangnya DIA.
Bagi yang berkesempatan untuk berada di pertengahan Ramadhan, disarankan untuk beribadah dengan penuh keimanan dan sunguh-sungguh dalam mengharapkan pahala dari ALLAH Subhanahu wa Ta’ala. Ganjaran besar berupa pengampunan dosa yang telah lalu menanti bagi mereka yang beribadah sungguh-sungguh di dalam bulan yang mulia ini.
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada ALLAH, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
“Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
Perbanyakkanlah amalan-amalan sunnat dan mohonlah keampunan kepada ALLAH Subhanahu wa Ta’ala di dalam bulan yang penuh barakah ini.
Di dalam sebuah hadith riwayat Imam Ahmad, ada diceritakan tentang perbuatan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang sedang menaiki mimbar, lalu Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam menyebut “amin” sebanyak 3 kali. Selesai memberi khutbah, para sahabat bertanya kenapa tadi disebut “amin” sebanyak 3 kali? Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab bahawa Jibril datang ketika itu dan berdo’a bahawa sangat kecewa dan rugilah bagi (1) orang yang apabila disebut nama Muhammmad, tidak dibaca solawat ke atas Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam, (2) orang yang sempat hidup bersama orang tuanya, tetapi mereka tidak membuatkan dia dapat masuk syurga, dan (3)orang yang sempat hidup di dalam bulan Ramadhan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya. Sebab itulah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sebut, amin…amin…amin.
Ramadhan dan pengampunan dosa tidak dapat dipisahkan. Malah, apabila ditanya oleh Aishah radhiAllahu ‘anha tentang apakah yang harus dibaca olehnya sekiranya bertemu dengan Lailatul-Qadr, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam mengajarkan doa khusus berikut untuk memohon keampunan, iaitu:
اللهمّ, انّك عفوّ, تحبّ العفو, فعف عنّي
Allahumma innaka ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa, fa’fu ‘anniErtinya: “Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau suka memberikan keampunan, maka ampunkanlah aku…”
Lihatlah muslimin muslimat sekalian, Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menganjurkan kita agar membaca doa di atas supaya diampuni dosa-dosa kita yang telah lalu. Betapa besar nilai dan makna doa ini sehingga Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menyarankannya.
Ini bermakna, ibadah memohon keampunan dengan tujuan untuk mendapat keampunan dari ALLAH mempunyai nilai yang sangat tinggi sehinggakan pada malam al-Qadr yang istimewa itu pun diajar tentang doa khusus untuk mendapat keampunan ALLAH. Justeru, janganlah ditinggalkan memohon ampun kepada ALLAH banyak-banyak disamping lain-lain ibadah sunnat dan hajat yang ingin dipohon.
Perbanyakkanlah memohon ampun di pertengahan Ramadhan ini…
No comments:
Post a Comment