Wednesday, January 15, 2014

LANGIT TIDAK SELALU CERAH.


Sungguh bahagianya rasa hati, seandainya segala yang  kita diimpikan akan terlaksana tanpa ada penghalangnya. Namun, itu hanya sekadar ungkapan yang khusus tercipta untuk para penghuni syurga, bukan pengembara di dunia. Sedangkan kita masih berstatus pengembara itu.

Hari itu aku gagahkan kaki melangkah maju setapak cuba melewati satu denai kehidupan. Tetapi ternyata denai itu tidak begitu mudah untuk diredahi. Ada onak dan duri mencucuk kaki di pertengahan jalan yang terpaksa membuat aku duduk sebentar untuk mencabutnya. Sakitnya aku rasa hingga ke lubuk hati yang paling dalam, namun aku masih juga cuba mengagahi untuk mendapatkan 'burung Cenderawasih' yang berselindung di sebalik denai itu. Cenderawasih yang aku kejar sekian lama.


WAKTU YANG LEWAT


Masa terus berlalu tatkala aku cuba mencabut duri itu. Kekadang timbul di benak hati ini, mengapa perlu aku melalui denai berduri itu, sedangkan ada denai yang lapang menanti dengan 'burung Cenderawasih' yang memukau mata . Adakah perlu aku menunggu di persimpangan yang berduri  itu hingga Cenderawasih itu keluar sendiri?  Pastinya, terlalu lama untuk aku menanti duri itu mati dimamah musim panas dan mengering hingga menampakkan unggas yang aku kejar awalnya .

BERTENAGAKAH AKU?


Kekadang hati ini diterjah dengan jutaan persoalan. Persoalan yang menjadi pelanggan setia adalah 'cukup kuatkah diri aku ini untuk mengharungi denai berduri itu?'  Rasa risau dan bimbang turut sama menempa sebagai pakej tambahan pada pertanyaan ini. Mungkin sahaja aku bukan insan yang layak mendapatkan Cenderawasih di Taman Berduri itu. Mungkin ada insan lain yag lebih sesuai. Mungkin dan mungkin lagi. Layakkah aku menjadi putera pembebas Unggas Kayangan itu?

TEKANAN PENONTON


Ramai penonton yang berkata aku tidak layak memiliki 'burung Cenderawasih'. Semuanya kerana pakaianku yang selekeh sahaja. Tanpa ada kelengkapan baju besi atau kalis peluru yang mahal beserta senjata. Aku terus dipinta menyiapkan kelengkapan pertahanan yang mantap sebelum bergerak ke denai berduri itu. Adakah itu perlu? Adakah itu wajib bagiku menyediakan Kelengkapan yang paling canggih dan mahal untuk ke denai itu? Tidak cukupkah dengan sepasang baju yang biasa-biasa sahaja ?

UNDUR DIRI.


Mungkin itu satu daripada jalannya. Mungkin juga tidak. Boleh sahaja aku berundur daripada denai berduri itu mencari denai yang hanya berkemucup sahaja, yang tiada sakitnya serta masa mencabutnya biasa-biasa sahaja. Atau mungkin aku harus sabar menanti keluarnya Unggas itu begitu sahaja. Bak kata orang ' Yang susah dapat, susah nak lepas'. Namun hati ini rasa terlalu lemah dan tidak berdaya. Rasanya ingin sahaja aku singgah di denai lain yang berdekatan.

ISTIKHARAH


Pilihan. Itu ertinya istikharah. Semoga aku diberi petunjuk oleh Allah.Semoga Dia Yang Maha Melihat dapat melorongkan aku ke jalan yang terbaik. Kerana aku masih dalam kekeliruan dan keserabutan yang nyata. Dalam misi mencari sesuatu yang tidak pasti, ternyata langit tidak selalu cerah seperti yang  aku inginkan...

 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...