Friday, February 17, 2012

TUPAI MAMPU GOYANG POKOK KELAPA ?


YES, I CAN DO IT...


Memang sungguh tidak masuk akal apabila ada orang yang percaya bahawa tupai mampu menggoyang pohon kelapa. Tetapi, dalam berbagai cerita dongeng sejak turun temurun, tupai selalu mengaku kepada monyet bahawa dirinya mampu menggoyang pohon kelapa.
Hal itu demikian memang dibuktikan tupai kepada sang monyet, kerana mampu memanfaatkan angin yang sedang berhembus kencang di sekitarnya. Takala angin bertiup, saat itulah tupai langsung mendakwa bahawa dirinyalah yang menyebabkan pohon kelapa tersebut bergoyang.
Untuk meyakinkan monyet, tupai pun menarik sekuat-kuat hatinya pelepah kelapa dengan tangan kanannya, sementara tangan kiri memeluk pohon kelapa erat-erat. Semakin kuat angin, semakin kencang pula hentakan tangan tupai terhadap pelepah kelapa tersebut. 
Dan, tupai  baru berhenti bergoyang ketika angin yang berhembus tadi sudah benar-benar reda. Namun yang anehnya, sang monyet begitu percaya bahawa tupai memiliki kekuatan yang luar biasa, yakni mampu menggoyang pokok kelapa yang besar itu.
Perumpamaan ini sangat sesuai diterjemahkan kepada para ahli politik yang mengaku mampu mengurus sesebuah negara untuk mendapatkan atau bertahan sebagai peneraju. Sudah bukan rahsia umum lagi bahawa sejak akhir-akhir ini begitu banyak manusia yang berkepentingan politik dan ahli politik yang bercakelewangan menawarkan khidmatnya. 
Misalnya, ada mengaku mampu itu, ini dan dia yang terhebat dari kalangan yang tersohor untuk diangkat  menjadi pemimpin kalangan tertentu. Dan, anehnya mereka mendabik dada  berani mendakwa mereka telah ditunjuk untuk menjadi Anu dan Anu dan semua itu yang menyebabkan anda selesa kini adalah berkat hasil perjuangannya .
Padahal,  kalau ditilik dan dibelek, sama sekali dia tidak ada kontribusi  terhadap apa yang diwar-warkannya. Hanya sahaja secara kebetulan nama dia berada di situ, serupa dan sama seperti yang dia perkatakan itu.
Kepiawian  dalam memanfaatkan momentum inilah yang kemudian membuat dirinya dapat mengeruk keuntungan kebendaan dan pelbagai kemudahan lainnya. Seterusnya ia pun menjadi orang penting di lingkungan tersebut, seakan-akan ia dengan leluasa dapat mengatur pentadbiran di daerahnya, sesuai dengan kehendak seluruh orang yang bermukim di situ.
Dan, di sinilah biasanya mulai muncul bibit-bibit kerosakan terhadap sistem pemerintahan suatu kawasan atau organisasi. Sebab, sesunguhnya mereka seperti ini tidak mempunyai niat yang ikhlas untuk membantu  hingga sukses dan selamat sampai ke destinasi. Yang ada di dalam benaknya adalah bagaimana cara ia dapat menikmati keuntungan peribadi yang sebesar-besarnya.
Untuk itu kita berharap kepada siapa pun kelak yang terpilih agar berhati-hati. Yakinilah, tanggungjawab yang diberikan itu adalah sebuah kepercayaan yang wajib dijaga, serta akan dipertanggungjawabkan kepada masyarakat dan  lebih-lebih lagi kepada Allah Swt. di akhirat nanti.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...