Pernahkah Anda Berkorban Untuk Islam?
Berkorban untuk agama boleh diertikan memberi apa yang kita suka. Memberi apa yang kita sayang. Memberi apa yang kita miliki. Memberi sesuatu yang kita simpan dan jaga, untuk kepentingan Islam sebagai agama kita.
Baiklah, mungkin dengan bahasa sederhana ,pernahkah kita mengeluarkan wang kita dalam jumlah yang relatif tidak sedikit untuk kepentingan agama kita? Ketika solat Jumaat misalnya, sebuah kotak yang dihulurkan kepada kita, apa yang akan kita lakukan. Berapakah wang yang akan kita masukkan ke dalam kotak itu? Seratuskah? Lima puluh , dua puluh atau malah hanya seringgit?
Ada banyak perkara yang terlupa. Hidup kita yang masih muda sering kali merasa tidak perlu berkorban untuk agama kita. Malahan, kita lebih sering berkorban untuk perkara-perkara di luar agama. Misalnya berkorban untuk persahabatan, untuk geng, untuk teman, untuk kekasih dan bahkan untuk sesuatu yang sangat remeh sekalipun. Semuanya terasa sangat ringan. Tetapi menjadi begitu berat bila pengorbanan itu untuk Islam.
Adakah kita ingat betapa hebatnya Nabi Ibrahim yang berkurban untuk Allah dengan menyembelih anaknya sendiri. Sebagai seorang ayah yang sangat merindukan anaknya, dia rela menyerahkan anaknya kepada Allah. Sesungguhnya ini merupakan pengorbanan yang besar.
“Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah dan hanif. Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan)” (QS an-Nahl [16]: 120)
Dalam ayat lain, Allah Swt. berfirman (ertinya):
“Sesungguhnya pada mereka itu (Ibrahim dan umatnya) ada teladan yang baik bagimu; (yaitu) bagi orang-orang yang mengharap (pahala) Allah dan (keselamatan pada) Hari Kemudian. Dan barangsiapa yang berpaling, maka sesungguhnya Allah, Dia-lah yang Maha kaya lagi Maha Terpuji.” (QS al-Mumtahanah [60]: 6)
Nabi Ibrahim a.s telah menunjukkan sebuah teladan yang luar biasa . Semangat pengorbanan beliau sama besarnya dengan semangat kecintaan beliau kepada Islam. Pengorbanan inilah yang hari ini tidak kita miliki. Kecintaan dan semangat pengorbanan kita masih sangat kerdil.
Setiap pengorbanan bukanlah tanpa latihan. Ibrahim A.S sudah diuji oleh Allah dengan berbagai ujian ketakwaan. Nabi Ibrahim dengan sukses telah melalui ujian-ujian itu. Ingatkah bagaimana Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya sendirian di padang pasir? Semuanya itu adalah ujian untuk mengukur sebesar mana kemahuan kita berkorban untuk Islam.
Dahulu ada kisah seorang sahabat bernama Abdullah Ibnu Umar. Di usianya yang mencapai 13 tahun, sudah ingin ikut berjihad bersama Rasulullah saw. Beliau bersama sahabatnya yang bernama al-Barra’ berkeras ingin ikut berperang bersama pasukan Rasulullah saw. dalam perang Badar. Namun oleh Rasulullah saw. menolak kerana masih kecil. Tahun berikutnya pada perang Uhud, permintaan beliau untuk turut serta tetap ditolak. Hanya al-Barra’ yang boleh ikut. Keinginannya yang tidak terbendung itu dipenuhi pada waktu perang Ahzab, Rasulullah saw. telah memasukkannya ke dalam pasukan kaum muslimin yang akan memerangi kaum musyrikin. Subhanallah!
Kita memerlukan latihan untuk menjadi seorang Abdullah bin Umar. Pertama, yang kita perlu lakukan adalah berlatih untuk mengendalikan hawa nafsu. Nafsu inilah yang selalu membuat kita egois. Berfikir cuma untuk kepentingan sendiri. Selagi kita egois, selagi itu kita akan susah untuk berkorban.
Hawa nafsu selalunya hampir sukses menggoda manusia yang lemah imannya. Mengheret mereka ke dalam sarang maksiat kerana tidak mendapatkan petunjuk dari Allah Swt. Benarlah firman Allah Ta’ala :
“Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (QS al-Qashash [28]: 50)
Dalam ayat lain, Allah Swt. berfirman :
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmuNya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” (QS al-Jaatsiyah [45]: 23)
Hawa nafsu, adalah bahagian yang perlu diurus dengan betul. Memang, kita harus menyedari bahawa hawa nafsu tidak dapat dimatikan. Hawa nafsu hanya dapat direda atau dikendalikan dengan ajaran Islam. Bukan yang lain. Kerana hanya Allah Swt. yang tahu olah karakter manusia. Oleh sebab itulah, Allah Swt. menyuruh manusia agar hanya taat kepadaNya, demi untuk keselamatan manusia itu sendiri. Untuk dapat mereda nafsu, tentu memerlukan pengorbanan untuk meninggalkan perkara-perkara yang menurut hawa nafsu sangat enak dan nikmat jika dilakukan.
Kedua, Mencuba berkorban dari yang kecil. Segala sesuatu yang besar dimulai dari yang kecil. Cubalah untuk berkorban sedikit demi sedikit. Berkorban tenaga, waktu dan kesempatan untuk Islam. Kemudian berkorban dengan harta. Kerana diri kita ini perlu untuk dididik. Apalagi jiwa yang kita miliki, biasanya akan cenderung kepada nafsu. Maka selalu harus dijaga dan diarahkan menuju kepada kebaikan.
Libatkanlah dalam urusan kaum muslimin. Ringankanlah beban mereka. Cubalah untuk melakukan sesuatu yang sangat bermanfaat . Jangan was-was, jangan ragu atau malu. Inilah saatnya, Islam menunggu kiprah besar dari kita.
No comments:
Post a Comment