Kezuhudan 'Ata' bin Abi Rabah
'Ata’ bin Abi Rabah dengan Khalifah Hisyam bin Abdul Malik
Uthman bin ‘Ata’ al-Khurasani menceritakan:
Aku bersama ayahku dalam suatu perjalanan mengunjungi khalifah Hisyam bin Abdul Malik. Waktu kami menghampiri Damsyik, tiba-tiba kami melihat sorang lelaki tua di atas seekor himar hitam, berbaju buruk dan kasar jahitannya serta memakai jubah yang sudah lusuh.Tempat duduknya diperbuat daripada kayu.
Aku mentertawakanya sambil bertanya kepada ayah: “Siapa orang itu?”
Jawab ayahku: “Diam! Itulah penghulu ahli ilmu penduduk Hijjaz, ‘Ata’ bin Abi Rabah.”
Ketika orang tersebut dekat dengan kami, ayahku turun dari keldainya dan orang itu juga turun dari himarnya, lalu kedua-duanya berpelukan dan saling menyapa. Kemudian mereka kembali mengenderai kenderaan masing-masing, hinggalah mereka berhenti di pintu istana Khalifah Hisyam bin Abdul Malik dan mereka berdua dipersilakan masuk.
Setelah selesai dan ayahku keluar, aku dengan semangat bertanya: “Ceritalah padaku apa yang kalian berdua telah lakukan.”
Maka ayah bercerita:”Ketika khalifah Hisyam mengetahui bahawa ‘Ata’ bin Abi Rabah berada di pintu istana, beliau segera mempersilakannya masuk dan demi Allah, aku tidak akan dapat masuk ke dalam istana jika bukan kerana dia.Ketika khalifah melihatnya, khalifah berkata:”Selamat datang,selamat datang, mari, mari.” Lalu khalifah mempersilakan beliau duduk bersamanya di atas permaidani, dan saling bersentuhan lutut kedua-duanya.”
Dalam istana tadi terdapat orang-orang besar. Apabila beliau berbincang, orang lain terdiam. Khalifah menghadap ‘Ata’ bin Abi Rabah dan berkata: “Apa keperluanmu wahai Abu Muhammad?”
‘Ata’ bin Abi Rabah terus menyatakan beberapa keperluannya bertemu dengan khalifah, iaitu antara lainya ialah memohon agar khalifah menganugerah rezeki kepada penduduk Makkah dan Madinah, memberi sedekah kepada penduduk Hijaz dan Najaf, memberi bantuan berupa harta kepada petugas-petugas di perbatasan dan memohon supaya orang kafir zimmi tidak dibebankan dengan sesuatu yang mereka tidak mampu.
Akhirnya, apabila khalifah bertanya: “Apakah keperluan lain lagi wahai Abu Muhammad?”
“Ya, bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dalam diri tuan wahai Amirul Mukminim, dan ketahuilah bahawa tuan diciptakan dalam keadaan seorang diri, tuan akan mati dalam keadaan seorang diri, tuan akan dibangkitkan sendirian dan tuan akan dihisab dalam keadaan sendirian. Demi Allah, tidak seorang pun daripada orang yang tuan lihat ini akan bersama-sama untuk membantu tuan.”
Maka Khalifah Hisyam meletakkan mukannya ke bumi lalu menangis teresak-esak. ‘Ata’ berdiri dan aku turut berdiri. Kami berlalu, dan ketika kami sampai di pintu keluar, ada seseorang datang kepada ‘Ata’ dengan membawa sebuah bekas, dan aku tidak tahu apa yang ada di dalamnya. Orang itu berkata kepada ‘Ata’ : “Sesungguhnya Amirul Mukminim mengirim ini kepada tuan.”
‘Ata’ berkata: “Maaf, aku tidak akan menerimanya. “ Lalu beliau membaca ayat dari surah al-Syu’ara ayat yang ke-109, maksudnya:’Dan aku sesekali tidak meminta upah kepadamu atas kerja-kerjaku itu, upahku tidak lain hanyalah daripada Allah, Tuhan semesta alam.’”
Demi Allah, sesungguhnya ‘Ata’ bin Abi Rabah menemui khalifah Hisyam dan selepas itu beliau pulang tanpa meminum walau seteguk air pun.
‘Ata’ bin Abi Rabah telah dikurniakan usia yang panjang hingga 100 tahun, dipenuhi dengan ilmu, amal, kebaikan dan taqwa. Beliau menghiasi dirinya dengan sifat zuhud daripada kekayaan yang ada di tangan manusia dan begitu mengharapkan ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t. Para ulama berkata bahawa ‘Ata’ bin Abi Rabah pernah berdiri di Arafah melebih 70 kali mengerjakan haji.
Subhanallah! Alhamdulillah!. Allahuakbar!.
No comments:
Post a Comment